Murid kemalangan dapat kerusi roda

in Edisi by


TAMPIN – Seorang nenek gembira dan terharu apabila cucunya yang terbabit dalam kemalangan bulan lalu, menerima bantuan kerusi roda disampaikan oleh myPPP Bahagian Tampin.


T Durga, 54, berkata, cucunya, J Tamilarasi, 12, terbabit dalam kemalangan di Gemencheh ketika membonceng motosikal dengan saudara mereka.


Menurutnya, kesan daripada kemalangan itu menyebabkan cucunya mengalami patah kaki dan kini dia menjaga lima cucunya termasuk Tamilarasi, yang hanya mampu terbaring sejak kemalangan berkenaan.


“Sejak kemalangan saya bawa cucu tinggal dengan saya kerana mahu jaganya sendiri.


“Tamilarasi tak boleh bergerak seperti biasa dan perlu bantuan untuk urus dirinya sendiri.


“Saya perlu minta bantuan seorang kenalan untuk bantu angkat cucu sekiranya nak bawa dia ke bilik air,” katanya sempena Program Penyampaian Bantuan Pergerakan Pemuda myPPP Bahagian Tampin dan myPPP Bahagian Tampin di Taman Woon, di sini, semalam.


Durga berkata, bantuan berkenaan meringankan bebannya untuk menguruskan cucunya yang kini hanya terlantar sahaja.


Menurutnya, dengan kudrat tuanya, kerusi roda berkenaan dapat melancarkan lagi urusannya menjaga cucu yang sakit.


Sementara itu, Ketua myPPP Bahagian Tampin, VM Raja berkata, pihaknya menyampaikan bantuan berupa kerusi roda yang diperoleh daripada peruntukan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.


Menurutnya, sememangnya myPPP Bahagian Tampin sentiasa mengesan mana-mana individu yang memerlukan untuk diketengahkan bantuan bersesuaian bagi meringankan beban mereka.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]