Pengantin baru didakwa samun , rogol

in Semasa by


SHAH ALAM – Seorang lelaki yang baharu sahaja berkahwin selama sebulan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan merogol dan menyamun seorang mahasiswa, Rabu lepas.


Amirul Faizal Amiruddin, yang memakai t-shirt merah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.


Terdahulu, seorang wanita dipercayai isterinya kelihatan menangis sepanjang prosiding.


Berdasarkan pertuduhan, Amirul, 27 didakwa merogol dan  melakukan hubungan seks luar tabii terhadap mangsa, 22.


Perbuatan itu didakwa dilakukannya di belakang sebuah pangsapuri, Seksyen 7 dekat sini antara jam 8.30 dan 10.30 malam pada 1 November lalu.


Selain itu dia juga didakwa merompak telefon bimbit Samsung J1 Prime dan wang RM100 milik mangsa dengan bersenjatakan pisau di tempat, masa dan tarikh sama.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2)(b), Seksyen 392 dibacakan bersama Seksyen 397 dan Seksyen 377C Kanun keseksaan.


Pemandu forklif kilang keluli itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sekiranya disabitkan dengan kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadiah Basri tidak mencadangkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan tersebut adalah serius.


“Sekiranya jaminan diberikan, ia dikhuatiri mengganggu mangsa kerana tertuduh tahu tempat belajar mangsa,” katanya.


Hakim Sabri Ismail tidak mencadangkan jaminan dan menetapkan 4 Disember depan untuk laporan perubatan dan lantikan peguam.


Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berpura-pura menanyakan arah terhadap mangsa yang sedang menunggu bas selepas pulang dari pasar malam.


Suspek mengacukan pisau dan menariknya ke dalam kereta sebelum merogol.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]