Perhilitan Kedah rampas 85 tenggiling

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah merampas 85 tenggiling dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Darat, Changlun, di sini, semalam.


Pengarah Perhilitan Kedah, Muhammad Ali Che Aman berkata, nilai rampasan tenggiling cuba diseludup keluar ke negara jiran dianggarkan RM350,000 untuk pasaran luar negara.


“Susulan itu, lima anggota Perhilitan Kedah yang membuat serbuan menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun atas pemilikan secara tidak sah haiwan itu.


“Lelaki itu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut berhubung pemilikan secara tidak sah tenggiling yang merupakan hidupan liar dilindungi, katanya.


Muhammad berkata, pihaknya mendapati permintaan tinggi untuk dijadikan makanan eksotik dan nilai pasaran lima kali ganda di luar negara terhadap tenggiling mengakibatkan penyeludupan haiwan eksotik itu sering berlaku.


Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya turut menerima serahan kes percubaan seludup 55 tenggiling dan lima guni dipercayai sisik tenggiling bernilai RM175,000 dari AKSEM Kedah, kelmarin.


Kes itu disiasat dibawah Seksyen 68 (2) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan tenggiling, iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.


Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 ataupun dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun ataupun kedua-dua sekali.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]