Perlu modul pembelajaran sesuai di ABM

in Sukan by


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mahu satu modul pembelajaran bersesuaian bagi 60 pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang akan dipindahkan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.


Bagi melancarkan pembelajaran pelajar berkenaan, Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secepat mungkin mengenai perpindahan 60 pelajar itu yang juga pemain badminton remaja ke ABM.


Berbeza dengan akademi sukan lain, pihak BAM mahu pelajar SSBJ itu mengikuti pembelajaran dan latihan di ABM supaya jurulatih dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam memantau perkembangan prestasi pemain remaja berkenaan.


“Dalam hal ini, peringkat tertinggi di KPM dan Kementerian Belia dan Sukan memainkan peranan penting. Mengambil contoh pelajar berkenaan mempunyai enam subjek teras, jadi guru yang dipilih akan datang mengajar dan selepas waktu pembelajaran mereka akan menjalani latihan.


Itulah cara yang terbaik untuk memastikan BAM fokus kepada perkembangan pemain remaja. Kalau boleh kita mahu menyerap pelajar-pelajar SSBJ ke akademi ini bermula awal tahun depan kerana musim persekolah bermula Januari. BAM juga bersedia menyerap pelajar-pelajar secara berperingkat-peringkat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM di akademi berkenaan, di sini hari ini.


Mohamad Norza berkata akademi itu boleh memuatkan 200 atlet dan ketika ini jumlah pemain yang berlatih di ABM termasuk pemain elit dan pelapis adalah 80 orang tidak termasuk 60 pelajar SSBJ.


Katanya BAM turut membuat penstrukturan kejurulatihan baharu kepada 60 pelajar berkenaan yang melibatkan pelajar daripada tingkatan satu sehingga lima.


Mohamad Norza berkata BAM melantik jurulatih Kwan Yoke Meng bagi melatih pelajar tingkatan empat dan lima manakala Zhou Kejian akan melatih pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga.


Sementara itu, BAM menjangkakan akan menerima bangunan ABM dan Stadium Juara secara rasminya daripada KBS pada bulan depan atau selewat-lewatnya Januari tahun depan.


ABM mempunyai kelengkapan seperti gelanggang badminton, gimnasium, auditorium, ruang serba guna, pejabat, tempat letak kereta serta asrama. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]