Polis buru 86 individu dikehendaki

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Polis Kedah memburu 86 individu yang dikehendaki termasuk dua wanita berhubung kes jenayah yang berlaku di negeri ini sejak 2010 sehingga bulan lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata daripada jumlah itu, empat orang dikehendaki bagi kes bunuh, keganasan seksual (24), mendatangkan kecederaan (14), samun (20), kekerasan (lima), harta benda (16),dan seorang masing-masing bagi kes mencuri, pemerdagangan manusia  dan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).


“Empat lelaki berkenaan terlibat dalam kes pembunuhan pada tahun 2008, 2012 dan 2017 yang berlaku di Sungai Petani dan Pendang manakala dua wanita dikehendaki atas kes jenayah harta benda dan samun.


“Kita percaya individu-individu ini masih ada dalam Kedah dan ada juga berada di luar negeri sebab itu kita sebar maklumat mereka ini bagi membolehkan mereka ditahan dengan segera,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.


Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu yang dicari untuk menghubungi balai polis terdekat bagi menyalurkan maklumat.


Mior Farid berkata polis turut merampas 661 mesin judi dan wang tunai berjumlah RM240,012 hasil daripada 1,694 serbuan menerusi Ops Dadu yang dijalankan sejak Januari sehingga Oktober lepas.


“Dalam Ops Dadu Khas pada 21 Sept lalu, polis berjaya menahan 271 individu yang terdiri daripada pemilik premis dan pemain judi dan merampas 96 mesin judi dan wang tunai berjumlah RM500,000.


“Semalam, dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemantauan Lesen Hiburan Peringkat negeri telah memutuskan untuk meminda Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Kedah 1997 bagi memantapkan penguatkuasaan dan membendung kegiatan judi di negeri ini,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]