Polis minta bantuan kesan lelaki hilang

in Edisi Sabah Sarawak by


SIBU – Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang pemuda yang dilaporkan hilang di Sibu Jaya sejak Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zailanni Amit berkata, pemuda dikenali sebagai Steinzerly Anak Musa, 26, itu mengalami kecelaruan fikiran dan kemurungan, kali terakhir dilihat di gelanggang futsal Sibu Jaya.


Katanya, pemuda itu berbadan kurus, tinggi sederhana, berkulit cerah dan memakai kemeja T hitam, berseluar pendek, tidak berkasut serta terdapat kesan luka di lehernya.


“Semasa keluar dari rumah pemuda ini tidak membawa sebarang dokumen perjalanan diri dan kes ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Hingga 8.00 malam tadi dia masih belum dijumpai,” katanya.


Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan anggota polis Sibu, bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut dijalankan.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Steinzerly diminta menghubungi  balai polis terdekat. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]