Prihatin cabaran sistem makanan agri perikanan

in Nasional by


GEORGETOWN – Putera Charles  menyuarakan keprihatinan baginda terhadap cabaran utama dalam sistem makanan agri perikanan apabila sebahagian besar daripada ikan yang ditangkap di lautan akhirnya dijadikan makanan untuk penternakan ikan.


Prince of Wales menyatakan keprihatinan itu semasa baginda melawat WorldFish, sebuah agensi penyelidikan antarabangsa yang berpangkalan di Pulau Pinang, kata pengarah WorldFish, Gareth Johnstone.


Beliau berkata, Putera itu berminat dengan kerja WorldFish dalam bidang kelestarian makanan ikan yang tidak menggunakan sumber laut dan usaha meluas institusi berkenaan dalam mencapai serta menyumbang ke arah Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu.


“Putera Charles merupakan suara yang lantang dalam perbincangan berkaitan kelestarian lautan dan merupakan penyokong kuat pembangunan lestari khususnya dalam bidang pertanian, sejak dahulu lagi.


“Kami mengambil maklum kata-kata perangsang baginda dan beberapa bidang yang dikongsi bersama berkaitan minat serta matlamat yang akan menjadi inspirasi ketika kami menyusun program untuk menangani cabaran pembangunan global melalui perikanan dan akuakultur,” katanya kepada Bernama di sini.


Pertemuan setengah jam dengan Putera Charles yang berlangsung semalam turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Munir Mohd Nawi, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Victoria Treadell dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri K. Devamany, yang juga menteri pengiring.


Antara topik perbincangan adalah kerapuhan ekosistem lautan dan kerentanan masyarakat yang terlibat dengannya.


Johnstone menjelaskan bahawa Putera Charles menunjukkan minat khusus dalam makanan ikan alternatif yang menggunakan serangga sebagai sumber protein untuk memberi makan ikan, alternatif yang lebih mampan kepada ikan.


Terdahulu, Putera Charles dan isteri, Camilla Duchess of Cornwall, diberi sambutan permaidani merah di sini sebagai  mengucapkan selamat jalan sebelum baginda menamatkan lawatan tujuh hari ke Malaysia dan berlepas ke India.


Baginda  berdua tiba di Kuala Lumpur pada Khamis lepas untuk melakukan lawatan sulung ke Malaysia, bagi memperingati ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom.


Lawatan pasangan diraja itu ke Malaysia adalah sebahagian daripada lawatan 11 hari ke Singapura, Malaysia dan India dari 30 Oktober hingga 9 November. –Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]