Sabotaj pokok timun

in Edisi Selangor KL by


SUNGAI BESAR – Seorang petani mendakwa mengalami kerugian ribuan ringgit apabila pokok timunnya yang berusia 32 hari ditabur racun oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Azman Zainal Abidin, 51, berkata, kejadian itu disedarinya ketika ingin mengambil hasil timun di kebunnya yang terletak di Kampung Batu 23 Sungai Nibong, kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin.


“Sebaik sampai, saya terkejut sebab tengok daun pokok dah layu dan putiknya gugur ke tanah. Saya terkejut bila nampak ada kesan racun yang ditabur secara rawak di sekitar batas pokok,” katanya.


Menurutnya, perbuatan khianat itu dipercayai dilakukan pihak terbabit sebaik dia pulang ke rumah pada waktu tengah hari.


“Dalam jam 11 pagi, saya tengok timun masih dalam keadaan baik dan saya jangka nak petik hasil pada sebelah petang. Tapi tak sangka, sebaik sampai di kebun ini, keadaan berubah serta-merta,” katanya.


Azman memberitahu, kebunnya seluas 0.4 hektar itu biasanya mampu mengeluarkan hasil timun satu tan metrik sehari, namun hasil pengeluarannya merosot teruk sejak kejadian berkenaan.


“Semalam (kelmarin) saya hanya mampu peroleh 15 kilogram sahaja. Keadaan ini beri tekanan kepada saya yang hanya bergantung harap kepada sumber pendapatan ini semata-mata untuk menampung perbelanjaan,” katanya.


Katanya, kejadian itu mengakibatkan tanaman timunnya itu rosak dan menjejaskan hasil pengeluaran pada musim ini.


“Timun yang terkena racun tak boleh dijual sebab bentuknya yang berbintik-bintik, manakala saiznya kecut dan bengkok,” katanya.


Susulan kejadian itu, katanya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Sekinchan, kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.


“Tujuan laporan ini dibuat  untuk memastikan pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya, selain ingin memastikan tiada lagi pekebun lain teraniaya seperti saya,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]