Skuad takraw negara tewas kepada Thailand

in Sukan by


SKUAD  takraw negara sekali lagi terpaksa akur kehebatan Thailand apabila tewas kepada musuh tradisi itu di pentas akhir Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Hyderabad, India hujung minggu lalu.


Kekalahan dalam pertarungan dua set itu sekali gus menyaksikan anak buah Abdul Talib Ahmad gagal mengulangi pencapaian menewaskan lawan sama di Siri Super Istaf di Melaka dua tahun lalu.


Layak dapat pujian


Meskipun tewas, persembahan trio lelaki negara dibarisi Syahir Rosdi (tekong), Hanapiah Dolah (perejam) dan Farhan Adam (pengumpan) harus diberikan pujian terutamanya di set kedua apabila berjaya mencetus cemas kepada lawan dengan tidak memberikan kemenangan mudah dalam aksi di Stadium Tertutup Gachibowli itu.


Thailand yang merehatkan tekong berpengalaman, Siriwat Sakha sejak awal, akhirnya menurunkannya pada pertengahan set kedua menggantikan Krissanapong Nontakote dalam usaha menafikan kebangkitan skuad kebangsaan.


http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.754129.1510107158!/image/image.jpg


Bagaimanapun, trio negara terus mempamerkan kebangkitan ketika ketinggalan 15-18 untuk mengikat kedudukan dan mengekori rapat pungutan mata sebelum Thailand akhirnya menang 23-21 selepas berhempas-pulas.


Terdahulu pada set pertama, Malaysia turut mempamerkan semangat juang tinggi apabila tewas 19-21 terutamanya selepas menurunkan Hanapiah di hujung perlawanan menggantikan Norhafizi Razak sebagai perejam.


Tewas bermaruah


Sementara itu, pengurus skuad lelaki negara, Yusoff Ali berkata, beliau bangga semangat juang tinggi dipamerkan pemainnya.


Katanya, pemain memberikan persembahan yang terbaik dalam usaha meraih kemenangan.



“Cuma kita dihukum selepas melakukan sedikit kesilapan. Apa pun, tahniah kepada pemain yang memaksa lawan bermandi peluh sebelum tewas.


“Thailand juga goyang, jika tidak…masakan tidak, mereka turunkan tekong berpengalaman mereka, Siriwat Sakha,” katanya.


Pencapaian di Hyderabad mengulangi edisi 2011 apabila skuad negara turut kecundang kepada Thailand di final ketika kejohanan berlangsung di Kuala Lumpur.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]