Stor proses pencuci pakaian terkenal tiruan diserbu

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor membongkar aktiviti pemprosesan cecair pencuci pakaian disyaki tiruan.


Serbuan dibuat kira-kira jam 1 petang, hari ini di sebuah stor di Seksyen 27, di sini, hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.


Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Basharuddin Mohiyuddin berkata, serbuan diketuai pegawainya, Azizul Rahman melibatkan lapan anggota penguatkuasa.


Menurutnya, serbuan mendapati terdapat aktiviti pembungkusan serta pemprosesan melibatkan barangan cecair pencuci pakaian yang menggunakan logo jenama terkenal secara tidak sah.


“Hasil serbuan, pasukan telah menemukan kira-kira 400 unit cecair pencuci pakaian yang melibatkan nilai rampasan berjumlah RM6,000.


“Seorang pekerja stor terbabit telah direkod keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.


Beliau memberitahu, modus operandi premis ini dipercayai mendapatkan cecair yang dibeli daripada pembekal tempatan sebelum membuat pembungkusan.


Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan pemilik premis.


“Kes disiasat di bawah Akta perihal dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan akan didenda maksimum RM15,000 atau penjara tiga tahun,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]