Tiada lagi tekanan air rendah

in Edisi by


LUMUT – Penduduk yang tinggal di belakang kawasan Sekolah Kebangsaan Dato’ Ishak Kampung Teluk Muruh di sini, lega apabila masalah tekanan air rendah yang dihadapi mereka sejak 20 tahun lalu akan selesai selepas Lembaga Air Perak (LAP) melaksanakan projek pemasangan paip air UPVC di kawasan berkenaan.


Ketua Kampung Padang Tembak, Teluk Muruh, Mohd Salem Ghazali berkata, di kawasan itu terdapat lebih kurang tujuh rumah yang didiami penduduk.


Menurutnya, tekanan air di kawasan berkenaan agak rendah dan sedikit mengganggu aktiviti harian penduduk.


“Tekanan air memang rendah terutama apabila semua penghuni rumah menggunakan air dalam waktu sama.


“Keadaan ini menyukarkan aktiviti harian penduduk terutama untuk membasuh, memasak dan sebagainya,” katanya.


Menurutnya, pemasangan paip berkenaan akan membantu mengatasi masalah tekanan air rendah dan penduduk dapat menikmati kemudahan bekalan air yang lebih baik.


“Kita memang memberi perhatian terhadap perkara ini dan atas gerak kerja Pegawai Khas Adun Pangkor, Datuk Azri Jaafar akhirnya masalah ini dapat diselesaikan.


“Bukan saja kawasan ini mendapat bekalan air yang lebih baik malahan beberapa kemudahan lain turut dilaksanakan termasuklah jalan berturap, sistem perparitan dan bekalan elektrik.


“Bagi jangka masa panjang pula, saya akan memohon kawasan ini untuk dijadikan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Teluk Muroh supaya lebih banyak rumah dibina di sini,” katanya.


Pemasangan paip air UPVC itu dilaksanakan sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) LAP sempena program Permukiman Menteri Besar di daerah Manjung, baru-baru ini.


Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kerja-kerja pemasangan paip itu adalah sepanjang 400 meter di kampung berkenaan dan kerja-kerja pengalihan meter juga turut dilaksanakan.


“Meter sedia ada juga berada agak jauh dari premis pengguna di mana kita alihkan ke kawasan rumah masing-masing dan dijangka dengan terlaksananya projek ini bilangan rumah akan bertambah pada masa akan datang.


“Projek ini juga dapat membantu mengelakkan risiko menanggung bil air yang tinggi jika berlaku kebocoran paip antara meter air ke rumah oleh kerana tiada paip air retikulasi yang berhampiran,” katanya.


Difahamkan projek itu menelan belanja sebanyak RM19,000.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]