Bekalan elektrik di Pulau Pinang pulih

in Edisi Utara by


KUALA LUMPUR – Bekalan elektrik di Pulau Pinang pulih  jam 4 petang tadi berikutan banjir terburukdi  negeri itu Ahad lepas yang mengakibatkan banyak kawasan terputus bekalan elektrik.


Menurut satu kenyataan hari ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata kini kesemua 114 Pencawang Elektrik (PE) yang terjejas telah beroperasi semula, 102 disambung melalui grid sementara dan 12 lagi mendapat bekalan menerusi set janakuasa bergerak.


Walaupun kesemua PE telah mendapat bekalan, namun terdapat gangguan di bahagian sesalur atas voltan rendah yang masih terjejas akibat ditimpa pokok tumbang.


“Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan selepas pihak TNB memasuki kawasan yang ditenggelami air,” katanya.


TNB juga mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengalih wayar atau kabel yang jatuh kerana dikhuatiri masih mengalirkan arus elektrik dan boleh mengakibatkan renjatan sekiranya disentuh.


Sehingga 2 petang tadi, seramai 2,670 orang daripada 688 keluarga masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir, berbanding 3,213 mangsa pagi tadi dan situasi banjir telah beransur pulih. – Bernama

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]