Dakwa nombor akaun KWSP isteri dikongsi pencarum lain

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Seorang lelaki berusia 70-an bingung berikutan nombor akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik isterinya dikongsi seorang pencarum lelaki.


Yong Kim Leong,  Ketua Kampung Broga berkata, kejadian itu disedari isterinya, Tan Swee Gek, 55, semasa mengemas kini akaunnya di KWSP Kajang, Selangor pada 1 November lepas.


Malah, lelaki itu mendakwa penama waris dalam akaun KWSP isterinya itu juga tertera nama lelaki berkenaan sedangkan sebelum ini isterinya meletakkan nama beliau dan anak lelakinya sebagai waris.


“Pihak KWSP telah meminta isteri saya untuk mengisi borang pindaan maklumat ahli. Jadi saya telah berbincang dengan isteri saya untuk keluarkan semua simpanan memandangkan isteri telahpun mencapai umur 55 tahun.


“Namun ia tidak dibenarkan pegawai KWSP memandangkan terdapat satu lagi nama lain. Buntu dengan keadaan ini saya berjumpa dengan Siow Koi Voon, Ketua MCA Bahagian Seremban untuk meminta bantuan. Ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA Negeri Sembilan di sini, hari ini yang turut dihadiri Siow.


Sementara itu, Koi Voon berkata, perkara itu telahpun dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong yang juga Naib Presiden MCA pada 5 November lepas bagi membantu pasangan itu.


“Pada Selasa lepas pembantu khas timbalan menteri kewangan memaklumkan perkara itu terjadi disyaki terdapat kesilapan ketika proses pengisian data peribadi pelanggan di dalam komputer. Mungkin kakitangan terbabit tidak sengaja memasukkan data yang salah. Bagaimanapun kami akan bantu selesaikan perkara ini,” katanya.


Dalam pada itu, Koi Voon menasihatkan pencarum KWSP khususnya yang telah lama tidak mengemas kini data peribadi agar berbuat demikian bagi memastikan tiada masalah timbul ketika proses tuntutan kelak. – Bernama


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]