Elak aktiviti berisiko

in Edisi by


KUANTAN – Orang ramai diminta supaya menghentikan sementara atau mengehadkan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun dan pendakian gunung berikutan keadaan tidak selamat dan merbahaya ekoran cuaca tidak menentu kebelakangan ini.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd Idzhar Razali berkata, aktiviti luar dan lasak tidak sesuai dilakukan pada musim hujan kerana ia boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan bahaya.


Menurutnya, terdapat kemungkinan atau risiko sekiranya melakukan aktiviti di kawasan air terjun dalam keadaan cuaca hujan iaitu kejadian kepala air, terperangkap dan sesat.


“Seperti semua maklum, kejadian kepala air ini sukar diduga dan boleh berlaku di luar jangkaan.


“Biarpun cuaca baik di lokasi namun sekiranya berlaku hujan di kawasan hulu, bencana ini boleh berlaku pada bila-bila tanpa sebarang amaran kecuali di pusat rekreasi awam yang dilengkapi sistem amaran dan ada petugasnya,” katanya.


Katanya, risiko kepala air ini bukan hanya arus yang deras dan paras air naik mendadak, tetapi dalam sesetengah kes, ia turut menghanyutkan sekali kayu balak.


“Berdasarkan pengalaman kita juga, pengunjung sama ada individu atau kumpulan berisiko tinggi untuk terperangkap atau sesat lebih-lebih lagi sekiranya mereka menunggu hujan berhenti sehingga lewat petang.


“Dalam kawasan hutan, keadaan mudah gelap dan jika mereka bergerak turun dalam keadaan cuaca sedemikian, risiko untuk sesat cukup tinggi dan lebih memburukkan keadaan sekiranya berlaku kes kemalangan yang menyebabkan kecederaan atau kematian,” katanya.


Menurutnya, antara lokasi berisiko di bawah jagaan Balai Bomba Taman Tas termasuk air terjun Berkelah dan Jerangkang.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi berkata, terdapat beberapa gunung yang menjadi tumpuan peminat aktiviti mendaki di kawasan tanah tinggi itu antaranya, Gunung Irau, Berinchang dan Berembun.


Bagaimanapun, atas faktor keselamatan, aktiviti mendaki Gunung Irau dihentikan sementara bermula awal November lalu hingga penghujung Januari tahun depan.


“Namun, kita dapati berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelumnya, ada pendaki yang ingkar arahan dan curi-curi naik biarpun menyedari keadaan cuaca tidak menentu dan berbahaya.


“Tindakan juga boleh diambil kepada pendaki degil ini mengikut peraturan sedia ada namun yang lebih dibimbangkan risiko bahaya yang dihadapi mereka,” katanya.


Beliau berkata, justeru beliau juga menasihati orang ramai supaya menghentikan sementara minat mereka itu dengan mengambil kira bahaya yang menanti.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]