Ganggu laluan masuk ke HTAN

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Laluan simpang masuk Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, sering disalah guna orang awam yang bertindak meletakkan kenderaan untuk singgah di kedai makan berhampiran.


Tindakan pengguna jalan raya di laluan arah ke Kuala Pilah itu menyebabkan laluan berkenaan sesak sehingga menyusahkan orang ramai.


Difahamkan, masalah bermula selepas wujud kedai makan di tepi jalan tersebut, yang turut dikatakan tidak sesuai kerana mengganggu kelancaran lalu lintas.


Ekoran tindakan itu, ramai melahirkan rasa kecewa atas sikap tidak bertanggungjawab pengguna meletakkan kenderaan di laluan tersebut sehingga menyukarkan pelawat dan ambulans untuk masuk ke HTAN.


Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Shahrul Nizam Salleh berkata, aduan pengguna mengenai kesesakan di laluan tersebut telah diterima pihaknya.


“Isu berkaitan tempat letak kenderaan di tepi jalan itu telah beberapa kali dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat MDKP.


“Memandangkan kawasan itu berisiko dan menjadi laluan penting bagi pelawat dan ambulans ke hospital, beberapa tindakan telah diambil bagi mengatasi masalah tersebut,” katanya.


Menurutnya, antara tindakan yang dipraktikkan adalah mewujudkan garisan kuning di tepi jalan tersebut.


“Garisan kuning bermaksud kenderaan tidak dibenarkan meletak kereta di tepi jalan tersebut dan polis boleh mengeluarkan saman ke atas kenderaan yang melakukan kesalahan.


“Selain itu MDKP juga telah meletak halangan berbentuk pasu bunga untuk menghalang kenderaan dari terus parkir di tepi jalan itu sebagai langkah sementara,” katanya di sini, semalam.


Dalam pada itu, bagi mengambil tindakan jangka panjang, MDKP akan meminta bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memasang pengadang jalan bagi mengelakkan orang ramai terus parkir di laluan berkenaan.


“Dinasihatkan kepada orang ramai supaya tidak parkir di kawasan tersebut kerana ia adalah satu kesalahan lalu lintas, selain boleh halang atau ganggu aliran trafik khususnya ambulans.


“Orang ramai boleh guna tempat letak kereta berhampiran yang telah disediakan oleh MDKP,” katanya.


Ujarnya, sekiranya terdapat pengguna jalan raya berdegil dengan parkir di tepi jalan itu, operasi saman akan dilaksanakan oleh PDRM dari semasa ke semasa.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]