Hallyu: Wanita Jepun ramai kunjungi Korea Selatan

in Global by


SEOUL – KOREA SELATAN. Lebih 70 peratus pelawat asing yang datang ke Korea Selatan untuk menyertai acara Gelombang Korea (Korean Wave) adalah terdiri daripada rakyat Jepun, menurut satu kajian, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.


Satu analisis oleh Kwon Tae-il dari Institut Kebudayaan dan Pelancongan Korea menunjukkan, dalam kalangan pelancong yang menyertai acara K-pop, festival tradisional dan kebudayaan lain yang lebih dikenali sebagai “hallyu,” 74.8 peratus berasal dari Jepun.


Disusuli pelancong China sebanyak 18.4 peratus, Hong Kong (3.8 peratus), Malaysia (0.8 peratus), Thailand (0.7 peratus) dan Taiwan (0.4 peratus).


Daripada jumlah keseluruhan pelancong Jepun, 87 peratus adalah wanita.


Lingkungan usia 40-an membentuk kumpulan terbesar pelawat “hallyu” iaitu sebanyak 28.7 peratus, diikuti usia 20-an (23.7 peratus), 30-an (23.3 peratus), 50-an (8.1 peratus) dan yang berusia 61 tahun ke atas sebanyak (4.9 peratus).


Pusat membeli-belah Myeongdong di Seoul, paling ramai dikunjungi pelancong dengan jumlah 86.3 peratus, disusuli COEX di selatan Seoul (53.1 peratus); Sinchon dan Hongdae di barat Seoul (47.3 peratus); stesen kereta api bawah tanah Gangnam (44.1 peratus); dan Dongdaemun Market (30.2 peratus).


Tahap kepuasan pelancong pula 97.8 peratus manakala 97.1 peratus menyatakan hasrat untuk mengunjungi negara itu dalam masa tiga tahun. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]