Jamal akan saman Zuraida sekali lagi

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sekali lagi akan menyaman Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin biarpun kes saman fitnah mereka baru selesai melalui proses mediasi, kelmarin.


Tindakan itu dibuat Jamal kerana mendakwa Zuraida mengeluarkan kenyataan tidak benar dan berbaur fitnah terhadapnya di luar mahkamah ketika sidang media sebaik selesai prosiding mediasi berkenaan.


“Saya amat kesal apa yang berlaku. Selama empat jam proses mediasi, Zuraida secara sukarela telah menarik saman, saya telahpun menarik kembali kata-kata saya, dan beliau setuju.


“Tetapi malangnya, di luar mahkamah beliau kata saya macam-macam, tidak siuman, gila dan kata saya memohon maaf di depan hakim di mahkamah terbuka.


“Beliau juga kata dia berjaya menjinakkan saya, saya seorang yang buas,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.


Sehubungan itu, kata Jamal beliau menganggap kenyataan itu cukup menghina, dan mengarahkan peguam-peguamnya untuk menyaman Zuraida.


Selasa lalu, kes saman fitnah yang difailkan Zuraida selesai selepas Ketua gerakan baju merah itu menyatakan kekesalan terhadap kata- kata yang dihemburkannya dalam insiden kekecohan di Ampang Point Mall, tahun lalu.


Jamal membacakan penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, S Nantha Balan, menarik kembali kata-kata yang dihamburkan ketika situasi tegang di Ampang Point Mall selain beraku janji untuk tidak mengulangi sebarang kenyataan berkenaan insiden itu.


Zuraida memfailkan tuntutan saman itu pada 17 November tahun lalu kerana mendakwa Jamal mengeluarkan kata fitnah dalam insiden hidung berdarah di pusat membeli belah itu.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]