Jurueletrik dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun

in Edisi by


KOTA BHARU – Akibat memiliki sebilah pedang dan melakukan ugutan jenayah,  seorang juruelektrik dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, di sini, hari ini.


Tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan memiliki sebilah pedang dan melakukan ugutan jenayah hendak mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki, Febuari lalu.


Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Mohammad Hafiz Mohd Sani, 22, yang disabitkan bersalah di akhir kes.


Pada pertuduhan pertama, lelaki yang bekerja di istana itu didakwa memiliki sebilah pedang berukuran panjang 106 sentimeter (sm) tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa di hadapan sebuah rumah di Panji, Kota Bharu, 8.35 malam, pada 7 Febuari 2017.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kecederaan kepada seorang lelaki, Mat Ludin Muhammad, 68, dengan menggunakan sebilah pedang di lokasi yang sama, 6.30 petang, pada 7 Febuari 2017.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh di penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Mohd dan Firdaus Mohd Yusoff yang memohon hukuman ringan kepada lelaki itu.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal kepada tertuduh untuk memberi pengaran dan membabitkan kepentingan awam.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi pertuduhan pertama dan tiga tahun pertuduhan kedua. Hukuman itu berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum hari ini.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]