Kes HIV di Terengganu rekod penurunan sejak 2001

in Edisi Terengganu by


MARANG – Kadar jangkitan HIV di Terengganu telah menunjukkan penurunan konsisten sejak 2001 hasil pelbagai program yang dijalankan kerajaan selama ini.


Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud berkata pada tahun 2001, kadar jangkitan HIV ialah 83.2 bagi setiap 100,000 penduduk.


“Penurunan direkodkan kepada 30.6 jangkitan HIV bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2010 dan terus menurun kepada 11.2 bagi 100,000 penduduk pada tahun lepas.


Sekiranya trend penurunan ini berterusan, kes HIV di Terengganu akan dapat dikawal dan sasaran kita untuk mengurangkan jangkitan baharu tahunan sebanyak 90 peratus pada tahun 2030 pasti tercapai,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.


Roslee yang juga Adun Bukit Besi berkata program pengurangan kemudaratan yang dimulakan pada akhir tahun 2005 iaitu khusus kepada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah melalui perkongsian jarum suntikan telah berjaya dilaksanakan di Malaysia dan menjadi ikutan negara lain.


“Program ini juga menunjukkan penurunan transmisi jangkitan HIV melalui perkongsian jarum suntikan lebih 50 peratus antara tahun 2009 hingga 2013.


“Di Terengganu, seramai 11,536 penagih dadah telah mengikuti program ini iaitu 3,119 melalui program rawatan metadon manakala 8,417 penagih terlibat dengan program pertukaran jarum dan alat suntikan yang dijalankan Komuniti Cakna Terengganu dan Persatuan komited Malaysia dengan pemantauan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.


Kerajaan akan terus berusaha mencegah dan membanteras penyakit ini dan berharap mendapat kerjasama dari orang awam khususnya keluarga pesakit HIV sendiri agar mereka tidak berasa tersisih, sebaliknya dapat menjalani kehidupan harian yang positif untuk kebaikan semua pihak, katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]