Misi kemanusiaan ke Pulau Pinang

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Atas dasar keprihatinan, beberapa pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Selangor akan mengetuai Misi Kemanusiaan Kerajaan Selangor ke Pulau Pinang mulai malam esok sehingga awal pagi Ahad.


Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, misi ini bertujuan untuk membantu kerja-kerja pembersihan kediaman mangsa banjir dan kemudahan awam lain seperti sekolah, masjid, surau, tokong, kuil, gurdwara dan dewan orang ramai.  


“Pimpinan negeri akan mengadakan pertemuan dengan para pegawai dan anggota PANTAS daripada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor yang kini berada di Pulau Pinang semenjak Isnin lalu.


“Pimpinan negeri bersama PANTAS dan sukarelawan Negeri Selangor akan membantu kerja-kerja pembersihan dengan pelbagai kelengkapan dan aset termasuk kenderaan berat yang dibawa dari Negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor akan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjumlah RM 1 juta dan tambahan sumbangan tunai bernilai RM 350,000 hasil sumbangan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri untuk mangsa-mangsa banjir.


Kehadiran pimpinan Kerajaan Negeri Selangor adalah sebagai tanda solidariti dan sokongan moral untuk rakyat Pulau Pinang tatkala menghadapi bencana banjir besar.


“Kita yakin, misi kemanusiaan ini adalah selaras dengan dasar Peduli Rakyat yang menjadi teras pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor hari ini,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]