Nelayan dibela bila musim pilihan raya tiba

in Nasional by


SHAH ALAM – Program Gelombang Nelayan Nasional di Terengganu pada 14 Oktober 2017 yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilihat membazir dan tidak akan menyelesaikan masalah sebenar nelayan.


Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata, program seumpama itu dan pelbagai insentif yang diberikan kepada nelayan tidak lain bersifat bermusim sempena PRU 14.


“Nelayan berdepan dengan pelbagai isu besar. Sejauh mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain akan berusaha untuk mendedahkan dan menghapuskan sindiket haram nelayan asing ini untuk jangka masa yang panjang?


“Isu ini sudah puluhan tahun sangat lama berlaku dan bermula dengan masalah nelayan Thaiand dan kini nelayan Vietnam pula.


“Nelayan kita menuntut satu jaminan ini bukan hanya sekadar menjadi acara menjelang Pilihanraya sahaja dan akan kembali lesu selepas pilihanraya berlalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, dengan pendapatan daripada kecurian dan kehilangan 980,000 tan metrik tangkapan laut setahun berharga di antara RM4 Billion hingga RM6 Billion terlalu lumayan untuk di lepaskan begitu sahaja oleh sindiket yang begitu kaya dan boleh membeli pengaruh orang atasan yang berkuasa.


“Mereka beroperasi dengan kerjasama pengkalan jeti khas di selatan Vietnam. Sindiket ini, yang telah lama diperkatakan oleh nelayan,  terlalu lama dibiarkan berleluasa serta berakar umbi dan ia akan memerlukan azam yang kuat untuk di basmikan dengan berkesan.


“Saya dan rakan-rakan nelayan tidak percaya mereka yang telah di tangkap dan dinamakan tempoh hari berupaya boleh merancangkan sendirian sindiket berharga berbillion ringgit tampa bantuan orang  atasan yang lebih tinggi kuasanya,” katanya.


Tambahnya, adakah tindakan ini akan diteruskan dan membabitkan peringkat yang lebih tinggi dan berterusan sehingga selepas PRU 14.


“Ini barulah boleh membuktikan betapa serius dan bersungguh-sungguhnya hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk Malaysia mencapai tahap kosong rasuah – ‘zero corruption’, seperti ucapan Bajet 2018 beliau.


“Jangan jadikan ini seperti operasi menangkap pegawai dan lantikan kerajaan yang menyeleweng bantuan rumah nelayan miskin dua tahun lepas yang telah senyap berkubur selepas satu operasi sahaja. Itu sekadar melepas batuk di tangga,” katanya.


Dalam pembentangan Bajet 2018 lalu, Najib telah memperuntukkan sebanyak RM6.5 billion kepada golongan Peladang, Penternak dan Nelayan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]