Punca kematian doktor HSNZ masih disiasat

in Edisi by


MARANG – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu tidak menolak kemungkinan menu nasi ayam yang dimakan arwah Dr Mohd Muaz Mohd Sabri menjadi punca keracunan makanan yang menyebabkan kematiannya pada akhir bulan lepas.


Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu hasil laporan rasmi dari makmal Jabatan Kimia mengenai punca sebenar kematian doktor perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu.


“Apa yang tersebar di kalangan netizen, spekulasi¬† kononnya makanan yang dibeli dari pasar malam itu tercemar….kami tidak boleh kata ya dan kami pun tidak boleh kata tidak kerana tiada bukti kukuh mengenainya.


HSNZ telah melakukan siasatan dalaman berhubung kematian arwah dan setakat ini kami menolak kemungkinan adanya unsur khianat atau bunuh diri akibat tertekan dengan bebanan kerja. Yang pasti ia adalah kematian ‘natural’ dan kita perlu laporan rasmi itu untuk mengetahui punca sebenarnya,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat negeri yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud di sini hari ini.


Pada 1 November lalu, media melaporkan doktor yang berusia 29 tahun itu ditemui mati di bilik sewanya di Kampung Nyiur Sepohon, Kuala Terengganu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Doktor ditemui maut dalam bilik tidur]


Mayatnya ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil selepas pintu bilik rumah itu berjaya dibuka oleh anak pemilik kediaman berkenaan, Hakim Mat Lazim kira-kira pukul 10.40 malam 31 Oktober lepas.


Doktor tersebut dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati nasi ayam yang dibeli di pasar malam Kuala Ibai bersama tunangnya.


Dr Mohammad berkata tunang arwah bagaimanapun dimasukkan ke wad HSNZ pada pagi 26 Oktober setelah mengalami simptom yang agak teruk kerana muntah-muntah yang disyaki akibat keracunan makanan.


“Tunangnya itu pulih selepas menerima rawatan dua hari di HSNZ namun gagal menghubungi arwah sepanjang tempoh itu sehinggalah mayatnya ditemui dipercayai beberapa hari selepas kematiannya,” katanya.


Mengulas lanjut, Dr Mohammad berkata pihaknya ada melakukan pemantauan di pasar malam terbabit  namun gagal mengesan peniaga nasi ayam itu.


“Jika kita tahu, kita akan lakukan siasatan lanjut termasuk rantaian pembekal kerana kebanyakan kes keracunan makanan adalah disebabkan ayam yang tercemar.


Namun, kesan keracunan makanan adalah tidak sama bagi setiap individu kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk ketahanan tubuh badan individu dan jumlah makanan yang diambil,” katanya.


Kebiasaannya, hasil laporan rasmi Jabatan Kimia dapat diketahui selepas dua minggu hingga sebulan selepas pengambilan spesimen untuk mengetahui punca kematian seseorang. – Bernama

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]