'Saya sedia jadi saksi Selcat'

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Adun Permatang daripada BN Datuk Sulaiman Abdul Razak bersedia menjadi saksi sekiranya kerajaan negeri bersetuju menyiasat dakwaan berlakunya penggunaan kad pengenalan palsu dalam pemberian tanah di Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang.


Katanya beliau bersedia memberi keterangan berhubung isu itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).


“Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dalam jawapan sokongannya kepada Exco ketika penggulungan (di Dewan Undangan Negeri) semalam, menyatakan kerajaan negeri akan siasat dan jika benar (apa yang dibangkitkan berlaku) pemberian kelulusan itu akan dibatalkan.


“Justeru, saya minta jangan tunggu siasatan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya minta Menteri Besar siasat berdasarkan kepada keupayaan Selcat dalam Dewan,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.


Sulaiman sebelum ini mendakwa lot tanah terbabit tidak diberikan kepada penduduk asal penempatan kawasan berkenaan malah ada yang diberi kepada pemohon yang tidak layak.


Perkara itu dibangkitkannya ketika beliau membahaskan dasar Belanjawan Selangor dan Rang Undang-Undang Perbekalan, Selasa lepas.


Sebelum ini, penduduk kaum India Kampung Sungai Yu dilaporkan menggesa Menteri Besar Selangor menarik semula pemberian kesemua 153 lot tanah yang diagihkan menerusi skim rancangan tanah kampung tersebut kerana mendakwa berlaku nepotisme dan salah guna kuasa. – Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]