ShopBack terima dana hampir RM169 juta

in Bisnes by


SHOPBACK, sesuatu portal sehenti gaya hidup yang memberi kuasa untuk keputusan pembelian lebih bijak, menerima dana  AS$25 juta dalam pusingan pendanaan terbaru mereka, menjadikan jumlah dana keseluruhan setakat ini hampir AS$40 juta (RM169 juta).


Pusingan ini diketuai Credit Saison, syarikat kad kredit dan kewangan runcit terbesar di Jepun.


Lebih 10 institusi pelabur menyertai pusingan itu termasuk pelabur baharu, Blue Sky dan Intouch Holdings PLC, serta pelabur sedia ada seperti SoftBank Ventures Korea, Singtel Innov8, Qualgro dan East Ventures.


Pengurus Besar ShopBack Malaysia, Alvin Gill berkata, ganjaran tunai (Cashback) adalah landasan penubuhan ShopBack di Malaysia dan menjadi asas untuk membina penyelesaian beli belah yang lebih bijak.


“Menuruti proposisi nilai kami sebagai ‘Cara Yang Lebih Bijak (The Smarter Way)’, kami baru-baru ini menambah ciri agregasi perkhidmatan untuk penumpang bagi memudahkan keputusan pembelian untuk pengguna kami.


“Kami berusaha menjadi portal sehenti beli-belah dan gaya hidup bagi semua rakyat Malaysia,” katanya.


Kini ShopBack menjadi tunjang kepada hampir 1,000 tempahan setiap jam, dengan angka jualan tahunan melebihi USD300 juta bagi lebih 1,300 rakan niaga merentasi pekedai dalam talian, pelancongan dan gaya hidup.


Lebih 3.5 juta pengguna meliputi enam negara di Asia Pasifik telah mendaftar dengan ShopBack sejak syarikat ini ditubuhkan pada 2014.


Sementara itu, rakan dari SoftBank Ventures Korea, Sean Lee berkata, model perniagaan ShopBack dibina atas letusan perkembangan e-dagang di Asia Pasifik, bagi memacu lebih nilai kepada pengguna dan menjana jualan yang cekap kos bagi rakan niaga.


Beliau berkata, model itu membolehkan ShopBack untuk memanfaatkan pandangan pengguna meliputi pelbagai kategori beli-belah dan membina penyelesaian beli-belah yang lebih bijak seperti cadangan pelbagai kategori.


“Pasukan ShopBack memperlihatkan kebolehan untuk membina kumpulan pengguna yang setia dalam cara yang mampan dan berskala, di mana ia menjadi tulang belakang kepada semua perniagaan yang berjaya.


“Kami mempunyai keyakinan yang tinggi kepada kemampuan pasukan ini untuk membawa visi mereka ke serantau, sekaligus menjadi kesinambungan selepas 18 bulan pelaburan awal kami.” katanya.


Start-up’ yang berusia tiga tahun ini, sebelum ini berjaya mengumpul dua pusingan pendanaan awal berjumlah melebihi USD1 juta.


Dana pusingan terbaru itu akan digunakan untuk memacu tiga aspek pembangunan mendapatkan bakat berkelas dunia, melancarkan fungsi baharu produk dan menjadi pemimpin pasaran.


Bakat kunci kejayaan masa panjang


Rakan Pengurus di Qualgro, Heang Chhor berkata, ShopBack dengan konsistennya mencapai sasaran tinggi ditetapkan dalam menyampaikan pengembangan yang sangat kukuh.


Ia juga memperlihatkan kebolehan luar biasa untuk menyesuaikan diri dan pantas bertindak dalam pasaran yang berbeza merentasi Asia Tenggara.


“Ini berjaya dilakukan melalui kumpulan bakat yang inovatif dan bergerak pantas, di mana ShopBack berjaya menarik, berkembang dan memotivasikan mereka.


“Kepantasan dan hasil sebagai matlamat adalah kunci di rantau ini, dan mantera ShopBack iaitu ‘Gagal pantas, belajar pantas dan mengulanginya dengan pantas’, dengan cepat menjadikan mereka sebagai platform serantau untuk  ‘Cara yang Lebih Bijak (The Smarter Way)’ membeli-belah dalam talian,” katanya.


ShopBack yang terdapat di enam negara dipacu oleh pasukan terdiri daripada lebih 130 orang.


Pasukan pengurusannya dikumpulkan dari latar belakang e-dagang dan teknologi dengan pengalaman mengembangkan syarikat merentasi serantau, termasuk Alvin Gill yang sebelum ini merupakan Ketua Kakitangan kepada CEO Zeal Network, syarikat loteri dalam talian yang tersenarai awam dengan pendapatan melebihi EUR100 juta setahun.


Sebelum menyertai Zeal Network, Alvin berada di dalam industri pelaburan perbankan sebelum menyertai Zalora Malaysia.


Beliau menerajui Bahagian Pembelian di Zalora Malaysia dan melalui kategori yang dikawalnya, menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan yang ketara di dalam perniagaan.


Pengalaman dan pengetahuannya di dalam Kepintaran Perniagaan juga membantu syarikat untuk menyelesaikan dan menyelaraskan pelbagai cabaran operasi semasa tempohnya.


Pasaran, produk sesuai asas perkembangan serantau


Teras model perniagaan ShopBack dibina di atas asas yang kukuh melalui pelbagai eksperimen yang berulang.


Ia ditransformasi dari laman jualan kilat hari pertama kepada platform Cashback tetap yang membolehkan ia memberi nilai kepada pelanggan dan rakan peniaga sepanjang tahun.


“Kami telah menyaksikan perjalanan ShopBack berkembang dari awalnya. Kami sangat kagum dengan pengasas ShopBack yang bukan sahaja memperlihatkan semangat tinggi dalam perniagaan mereka malah tahap ketangkasan, kematangan dan disiplin yang tinggi,” kata Edgar Hardless, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Singtel Innov8.


Beliau berkata, dengan perkembangan pesat pasaran e-dagang serantau, kami berharap dapat terus menyokong aspirasi pertumbuhan serantau ShopBack.


ShopBack percaya pasaran setempat yang pantas dan efektif sangat kritikal untuk pemain yang beroperasi di rantau yang pelbagai di Asia Pasifik.


Walaupun teras servisnya sama merentasi geografi, pemasaran dan strategi produk yang berbeza digunakan untuk menangani keperluan pelanggan dengan lebih baik di setiap pasaran.


Mengulas mengenainya Alvin berkata, pusingan pendanaan yang terbaru ini datang tepat pada masanya ketika kami sedang memasuki festival jualan akhir tahun, dengan Alibaba 11.11 Singles Day dalam masa terdekat.


“Pendekatan pemasaran kami  yang disesuaikan dengan efisiennya, meningkatkan kesedaran terhadap Taobao, Tmall, and AliExpress di Malaysia.


“Pada 2016, ShopBack Malaysia menghasilkan 400 peratus peningkatan tempahan semasa 11.11 Singles Day, berbanding pada 2015.


“Kami berharap dapat meningkatkan prestasi tahun ini dengan kempen berimpak besar termasuk ganjaran tunai 50 peratus dan kod promo istimewa untuk pengguna kami,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]