Tekong nelayan Vietnam mengaku beri rasuah

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang tekong nelayan warga Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman pada Ahad lepas.


Tran Van Sang, 48, dituduh memberi suapan berjumlah RM100,000 kepada Pengarah APMM Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhammad Rezal Kamal Bashah di Restoran Kampung Meraga Beris Resort World Kijal pada 12.50 tengah hari, 5 Nov.


Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan itu secara bersama dengan sepasang suami isteri, Sa Ly Hah, 29, warga Vietnam dan suaminya, warga tempatan, Abd Rauf Mohamad, 36.


Pasangan suami isteri berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.


Ketiga-tiga mereka dituduh secara bersama memberi suapan itu sebagai dorongan untuk melepaskan dua buah bot nelayan Vietnam yang sebelum ini ditahan dan disita APMM bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985.


Bagi kesalahan tersebut, mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 24 akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.


Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz kemudian menetapkan Tran Van dan Sa Ly Hah ditahan di lokap sehingga sebutan semula kes pada 28 Nov kerana mereka merupakan warganegara asing.


Suami Sa Ly Hah pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada pihak mahkamah.


Pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Rozilawati Mat Hassan.


Sebelum ini, Sa Ly Hah berkhidmat sebagai jurubahasa sambilan yang membantu APMM di Pengkalan Maritim Kemaman untuk berkomunikasi dengan nelayan Vietnam yang ditahan pasukan penguat kuasa maritim. – Bernama


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]