Vietnam, Malaysia jalin kerjasama strategik

in Global by


HANOI – VIETNAM. MPOS Vietnam dan penyedia perkhidmatan pembayaran Malaysia, GHL Systems Berhad menandatangani perjanjian kerjasama strategik, mengenai kaedah pembayaran elektronik di sini Rabu, lapor agensi berita Vietnam (VNA).


Perjanjian itu akan membuka peluang kepada MPOS, sebuah syarikat pembuat dan memasarkan sistem pembayaran menggunakan kad, untuk membangunkan sistem pembayaran elektronik yang lebih teguh di Vietnam dan Asia Tenggara.


Selain itu, ia juga menandakan langkah pertama GHL untuk memasuki pasaran Vietnam.


Ketua Pengarah MPOS, Nguyen Huu Tuat berkata, sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan pembayaran mudah alih di Vietnam, beliau yakin dengan potensi perkongsian strategik tersebut.


Melalui GHL, MPOS akan mengembangkan aktiviti perniagaannya di semua pasaran lain di rantau itu, mengeksport teknologi pembayaran yang dibangunkan rakyat Vietnam, yang bertujuan untuk menjadi “Square” Asia Tenggara, tambahnya.


Sementara itu, naib pengerusi GHL Systems Berhad, Shimon Loh berkata, syarikatnya percaya Vietnam mempunyai faktor kelebihan untuk sistem pembayaran elektronik berkembang pesat.


Pasaran pembayaran elektronik Vietnam, berkembang dengan lebih 112 juta kad dikeluarkan oleh 40 institusi kewangan, namun hanya terdapat 300,000 peranti bayaran elektronik.


Justeru itu, strategi seterusnya, MPOS dan GHL menggalakkan pembangunan kaedah pembayaran menggunakan telefon mudah alih dan berasaskan internet, termasuk QR-Code serta NFC.


Ditubuhkan pada 2014, MPOS kini merupakan syarikat pertama dan satu-satunya di Vietnam yang dapat menggantikan penggunaan kad secara tradisional kepada teknologi pembacaan kad yang disambungkan ke telefon bimbit melalui Bluetooth.


Sementara, GHL ialah penyedia perkhidmatan pembayaran terkemuka di Asean, yang beroperasi di Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia dan Australia.- Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]