Wakil rakyat kecewa prestasi FAP

in Sukan by


PENGURUSAN Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) ditempelak selepas Harimau Kumbang tersingkir  ke Liga Perdana musim depan walaupun menerima peruntukan RM34.5 juta daripada kerajaan negeri untuk kempen Liga Super musim ini.


Adun Pengkalan Kota, Lau Keng Ee berkata, skuad Harimau Kumbang gagal menghasilkan keputusan memberangsangkan apabila sekadar menghuni tangga tercorot Liga Super walaupun menerima peruntukan yang begitu banyak.


“Sekiranya keputusan begitu teruk, maka tidak perlulah kerajaan negeri melalui syarikat berkaitan kerajaan memberikan tajaan yang begitu besar untuk mengimport pemain dan jurulatih,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada Persidangan Dun Pulau Pinang di sini semalam.


Katanya, pasukan negeri masih gagal menghasilkan keputusan yang baik musim ini walaupun dengan beberapa pemain import dan jurulatih import.


Sebaliknya, Keng Ee berkata, kerajaan negeri seharusnya melatih pemain negeri sendiri untuk menyarung jersi Pulau Pinang.


“Anak-anak kelahiran Pulau Pinang akan lebih bersemangat untuk bermain bersama negeri sendiri dan kos import pemain serta jurulatih itu dapat dijimatkan untuk perkara lain,” katanya.


Sementara itu, Adun Seri Delima, RSN Rayer mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan akademi bola sepak negeri untuk mencungkil bakat pemain bola sepak daripada anak-anak kelahiran negeri.


Katanya, semua kelab gergasi liga Inggeris mempunyai akademi masing-masing untuk melatih pemain bagi mewakili kelab mereka. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]