Wanita Myanmar didenda kerana minta sedekah

in Semasa by


KUALA LUMPUR –  Meminta sedekah adalah suatu kesalahan, dan seorang wanita warga Myanmar didenda maksimum RM100 di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana berkeliaran di tempat awam membawa cawan plastik untuk meminta sedekah.


Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Khotijah Soyot, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah meminta sedekah.


Mahkamah turut memerintahkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu dipenjara 14 hari jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.


Dia melakukan perbuatan tersebut di Jalan Memanda 1, di sini pada 10.50 pagi, 27 Okt mengikut Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan hendaklah dihukum di bawah Seksyen 27 akta itu yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 atau satu bulan penjara atau kedua-duanya.


Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis yang menjalankan pemantauan telah ternampak tertuduh sedang meminta sedekah di sekitar Ampang Point.


Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Kelvinder Singh Sidhu memohon mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda paling ringan dengan alasan tertuduh yang merupakan ibu kepada lima orang anak itu telah menyesal dan memohon maaf atas perbuatannya.


Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum mengambil kira tertuduh merupakan warga asing yang datang ke negara ini untuk mendapat perlindungan tetapi mengambil kesempatan dengan meminta sedekah dan memperdaya orang ramai. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]