2,000 peluang pekerjaan menanti

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Graduan yang masih mencari pekerjaan khususnya di Sabah tidak melepaskan peluang menyertai Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M), peringkat negeri yang diadakan pada Sabtu, 18 November ini.


Program Temuduga SL1M terakhir bagi 2017 ini akan berlangsung dari jam 7 pagi hingga 7 malam bertempat di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK), Sepanggar, Sabah.


Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, 30 syarikat akan buka gerai temu duga di Sabah, termasuk Petronas, Telekom Malaysia, Lembaga Tabung Haji, Tabung Haji Plantations Berhad, Maybank dan Borneo Highway PDP.


“Ini program ke ketujuh dan terakhir tahun ini yang menawarkan 2,000 kekosongan. Kita bawa syarikat-syarikat besar untuk turut serta.


“Kita bukan sahaja adakan temu duga terbuka, tetapi juga boleh beri surat tawaran serta bantu peserta sediakan resume,” katanyapada sidang media, semalam.


Sepanjang program itu, selain temu duga terbuka, pengunjung juga boleh lihat pameran kerja, ceramah kerjaya dan persembahan daripada Faizal Tahir, Akim & The Majistret, pelawak Zero, Sakura Band dan Estranged.


Penglibatan selebriti bertujuan memberi motivasi dan mereka dapat berkongsi pengalaman dalam memberi inspirasi kepada anak-anak muda agar gigih berusaha demi masa hadapan.


Beliau berkata, sejak SL1M dilancar pada 2011, lebih 139,398 peserta dibantu.


“Jadi kita harap anak muda datang dan rebut peluang ini. Kali ini SL1M di Sabah berlangsung sehari sahaja, tetapi kita janjikan kemeriahan termasuk cabutan bertuah yang menawarkan hadiah motosikal Modenas Kriss serta pelbagai barangan elektrik ,” ujarnya.


Katanya, SL1M juga akan membantu mana-mana peserta di Semenanjung yang mendapat tawaran di Lembah Klang dengan menampung tiket kapal terbang dan penginapan.


Majlis akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.


Dalam pada itu, Norashikin beri amaran kepada majikan yang mendera dan mengambil kesempatan terhadap peserta SL1M.


Sementara itu, duta SL1M yang juga penyanyi, Faizal Tahir berharap usaha kerajaan ini mendapat impak positif.


“Ini yang mahu kita ketengahkan, selain hiburan rakan artis juga berkongsi pengalaman dan beri motivasi agar anak-anak muda terus berusaha tanpa jemu untuk capai kejayaan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]