24 Pati cuba seludup masuk, keluar negara ditahan

in Semasa by


JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dipercayai cuba menyeludup keluar dan masuk ke negara ini menerusi laluan tidak diwartakan di Bandar Penawar dekat Kota Tinggi awal pagi tadi.


Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kesemua 17 lelaki dan tujuh wanita itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di dalam hutan dan pantai Pulau Hijau, Bandar Penawar dalam serbuan Op Pensura/Landai, mulai 11.15 malam tadi hingga 1.30 pagi ini.


“Kesemua 24 yang ditahan itu merupakan rakyat Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 40-an. Seramai 13 daripadanya dipercayai cuba menyeludup keluar manakala bakinya dipercayai baharu mendarat (masuk) dengan menaiki bot pancung,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.


Khiu berkata pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen sah, tinggal melebihi masa di negara ini selain cuba keluar atau masuk Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.


Beliau berkata siasatan awal mendapati mereka yang cuba menyeludup keluar itu telah bersembunyi di sekitar hutan dan pantai tersebut selama seminggu ekoran cuaca buruk untuk pulang ke negara asal menaiki bot pancung.


Katanya kesemua mereka  dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). РBernama

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]