Domino akan belanja RM15j buka 30 cawangan

in Bisnes by


DOMINO Pizza Malaysia merancang untuk membuka 30 cawangan baharu pada tahun depan dengan kos RM15 juta sebagai sebahagian daripada program pengembangan syarikat, kata Pengurus Besar Kanan Operasi Domino Pizza Malaysia dan Singapura Shamsul Amree.


Syarikat itu telah membuka 27 cawangan di Malaysia dan empat di Singapura dalam tahun ini.


“Sekarang,kami ada 210 cawangan di Malaysia dan kami akan meneroka pasaran Sabah dan Sarawak pada tahun depan, terutamanya di Kota Kinabalu dan Kuching,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran produk terbaharu Domino Pizza, ‘√áheese Tarik Crust’ di sini hari ini.


Rancangan pengembangan syarikat untuk 2018 akan ditumpukan kepada bandar-bandar kecil di Malaysia dan pada masa yang sama, membangunkan perniagaan dalam taliannya.


Katanya, separuh daripada jualan pizza syarikat itu diperolehi melalui cawangan fizikal dan selebihnya diterima dari dalam talian.


Malaysia adalah pasaran nombor satu bagi Domino Pizza di Asia Tenggara, ia memiliki bilangan cawangan tertinggi yang dibuka di rantau tersebut.


Di peringkat global, negara ini menduduki tempat ke-14 dari bilangan kedai dan berada dalam senarai 10 terbaik dari segi pertumbuhan cawangan.


Sementara itu, ‘Cheese Tarik Crust’ dan juadah iringannya, ” Cheesy Four”, boleh didapati di cawangan-cawangan Domino Pizza dan dalam talian bermula pada 13 November ini.


Sebagai sebahagian daripada usaha promosi, Domino telah menganjurkan peraduan ‘Cabaran Cheese Tarik’, satu cabaran media sosial bagi rakyat Malaysia untuk menunjukkan berapa panjang mereka secara kreatif boleh menarik kerak keju pizza berkenaan.


Peraduan ini dimulakan pada 27 Nov dan berakhir pada 24 Dis 2017. Pemenang-pemenang mingguan akan menerima pemberian pizza selama setahun dan dengan setiap cabaran yang berjaya, Domino akan menyumbang ke dalam inisiatif komuniti.


Pelanggan boleh menaik taraf pizza mereka kepada ‘Cheese Tarik Crust’ dengan surcaj sebanyak antara RM5 dan RM7.- Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]