'Jangan tunduk desakan letak jawatan'

in Sukan by


MENTERI  Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah diminta supaya tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu untuk melepaskan jawatannya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).


Pengurus Pasukan Belia Kedah, Haris Che Mat berkata, kekalahan pada perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu JDT, Sabtu lepas, tidak boleh dianggap kegagalan besar Ahmad Bashah, sebaliknya perlu melihat jasa dan pengorbanan menteri besar itu selama ini sehingga melakar banyak kejayaan lain sejak menerajui KFA pada Februari 2016.


“Presiden KFA terbukti berjaya membawa pasukan ke tahap tertinggi dengan merangkul Piala Malaysia pada 2016 seterusnya Piala Sumbangsih, Piala FA dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.


“Kami pasukan belia pun berjaya membawa pulang piala…ini hasil usaha pihak pengurusan KFA yang sentiasa melihat kebajikan pemain dan keseluruhan pasukan bola sepak negeri,” katanya kepada pemberita pada Program Pemilihan Pemain Pasukan Belia Bawah 19 tahun Kedah di Stadium Mini Jitra, hari ini.


Program selama dua hari bermula hari ini itu mendapat penyertaan lebih 500 peserta bertujuan mencari pemain yang berbakat untuk mewakili Skuad Belia Kedah Bawah 19 tahun pada musim akan datang.


Dalam pada itu, Haris meminta supaya semua pihak termasuk peminat dan penyokong tidak menjadikan bola sepak di negeri ini sebagai medan politik sehingga boleh merencatkan perkembangan sukan berkenaan.


“Saya juga orang politik, tetapi saya tidak meletakkan ideologi politik untuk membangunkan bola sepak di Kedah, dan terus membantu KFA dan berusaha memastikan imej bola sepak Kedah dapat ditingkatkan seperti dikehendaki Presiden KFA…berilah sokongan kepada kepimpinan sedia ada dan saya yakin menteri besar akan buat lebih baik selepas ini,” katanya.


Mengulas tindakan biadap segelintir penyokong yang mengejek Ahmad Bashah semasa perlawanan akhir tersebut di Stadium Shah Alam, Haris berkata tingkah laku sedemikian sangat mengecewakan dan memalukan imej negeri ini.


“Perlakuan itu memberi imej tidak baik kepada pihak pengurusan dan pemimpin bola sepak negeri…saya berharap kejadian ini tidak berulang dan terus memberi fokus kepada pembangunan sukan bola sepak di Kedah,” katanya.


Pada Isnin lepas, Ketua Pemuda UMNO Kedah Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa Ahmad Bashah mempertimbangkan kemungkinan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden KFA serta-merta.


Ini berdasarkan tindakan segelintir penyokong Kedah sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia yang mengejek Ahmad Bashah dan ia dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima, biadab dan memalukan.- Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]