Jenazah adinda Tuanku Muhriz selamat dimakamkan

in Nasional by


KUALA PILAH – Jenazah Adinda bongsu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Almarhum Tunku Datin Deanna Tuanku Munawir selamat dimakamkan dengan penuh adat istiadat di Makam Diraja Seri Menanti, Masjid DirajaTuanku Munawir di sini tepat jam 2.18 petang hari ini.


Kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata telah mula membanjiri perkarangan Istana Besar Diraja Seri Menanti sejak 1130 petang bagi penghormatan terakhir.


Suasana sedih mengiringi pemergian jenazah Almarhumah yang dibawa keluar dari Istana Besar Seri Menanti tepat jam 12.15 petang ke masjid dikendalikan sepenuhnya oleh 1 Briged Kem Rasah.


Antara tetamu kehormat hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, Datuk Seri Tunku Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Tengku Syarif Bendahara Perlis, Datuk Seri di-Raja Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Hadir sama, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah,  Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali dan barisan exco kerajaan negeri.


Turut mengiringi jenazah ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan speaker Dun, Datuk Dr. Awaludin Said.


Semalam, Tunku Deanna, 62, mangkat kira-kira pukul 4.24 petang di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur akibat penyakit diabetes.


Almarhumah meninggalkan suami Tengku Datuk Amran Tengku  Mohd Yusof dan tiga puteri berusia 34 tahun hingga 41 tahun.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]