Permohonan KPN batal sepina diketahui 14 Nov

in Semasa by


KUALA LUMPUR  – Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Nov ini untuk keputusan permohonan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun membatalkan sepina yang dikemukakan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dalam satu kes saman.


Jamal mengemukakan sepina itu supaya Mohamad Fuzi menjadi saksi dalam perbicaraan kes saman fitnah yang difailkan aktivis Maria Chin Abdullah terhadapnya atas dakwaan mengaitkan Bersih 2.0 dengan kumpulan pengganas Daesh.


Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh itu dalam kamarnya hari ini selepas mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mewakili Mohamad Fuzi dan peguam V. Mugunthan yang mewakili Jamal.


Ahmad Terrirudin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya berhujah bahawa penahanan Maria tidak mempunyai kaitan dengan Mohamad Fuzi, yang ketika itu merupakan Pengarah Cawangan Khas.


Sementara itu, Mugunthan pula berhujah bahawa Mohamad Fuzi adalah seorang saksi yang kredibel kerana beliau, yang ketika itu Pengarah Cawangan Khas, sepatutnya tahu mengapa Maria ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).


Prosiding itu turut dihadiri peguam Shahid Adli Kamarudin yang mewakili Maria.


Selain Mohamad Fuzi, Jamal turut mengemukakan sepina terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ruslan Abdullah.


Jamal juga akan memanggil aktivis pembangkang Hishamuddin Md Rais dan mengemukakan sepina terhadap peguam Hasan Karim, yang pernah menjadi aktivis pelajar pada 1970-an iaitu Ketua Kelab Sosialis Universiti Malaya (UM).


Pada 7 Okt tahun lepas, Maria, 60, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menyaman Jamal yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan.


Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria selaku plaintif mendakwa pada 28 Sept 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.


Plaintif juga mendakwa pada 4 Okt tahun lepas, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Okt di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.


Beliau menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.- Bernama


 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]