Produk halal berskala besar

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ekspo Taiwan 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), mulai semalam sehingga esok mempromosikan produk berkualiti dan perkhidmatan dari negara itu.


Pengerusi Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (Taitra), Walter Yeh berkata, ekspo julung kali dianjurkan itu membuktikan hubungan perdagangan dua hala antara negara itu dengan Malaysia semakin kukuh.


“Ia tanda aras baharu dalam hubungan perdagangan Taiwan dengan Malaysia. Dengan adanya ekspo ini, kami dapat promosi lebih banyak produk di sini.


“Disebabkan Malaysia ambil berat aspek halal, kami turut tawar produk halal berskala besar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ekspo itu, semalam.


Beliau berkata, dengan permintaan produk halal secara global yang semakin bertambah, banyak syarikat mula bergiat aktif membuat produk mengikut piawaian halal telah ditetapkan.


Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dapatkan pensijilan halal setiap produk Taiwan bagi mendapat status halal di Malaysia.


“Lebih 5,000 produk makanan, kecantikan, pakaian, perkakasan rumah, peralatan teknologi maklumat (IT) dan lain-lain ditawarkan sepanjang ekspo ini dengan penyertaan 180 syarikat.


“Selain ekspo, kami juga adakan forum industri dan sesi perbincangan perniagaan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan dan Pembangunan Ekonomi Majlis Pribumi Taiwan, Jouan Pan berkata, Ekspo Taiwan 2017 beri peluang kepada kerajaan mempromosi kawasan pelancongan, produk pertanian dan kraf tangan dihasilkan 16 suku pribumi negara itu.


“Misalnya, kami promosi kopi Ka-Vulung daripada suku Paiwan dan teh Fkuo daripada suku Tsou.


“Selain produk, kawasan perkampungan warisan semua suku turut dipromosi bagi menunjukkan negara kami mempunyai suku pribumi yang unik,” katanya.


Pegawai Eksekutif Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Shaan Honq, Liliya Yu pula berkata, pihaknya gembira kerana berjaya dapatkan sijil halal daripada badan halal Taiwan, Persatuan Pembangunan Halal Integriti Taiwan untuk produk penjagaan rambut dikeluarkan oleh syarikatnya.


“Memang sukar untuk dapat sijil halal dari Taiwan kerana sudah dua tahun kami memohon sijil itu daripada persatuan tersebut.


“Shaan Honq jual produk penjagaan rambut di Malaysia 15 tahun. Dengan adanya pengiktirafan halal, ia dapat yakinkan pengguna Islam di Malaysia,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]