PTPTN beri kelonggaran kepada mangsa banjir

in Nasional by


BUKIT MERTAJAM – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terlibat dengan banjir di negeri ini boleh membuat penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman mereka.


Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah tersebut adalah untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung peminjam akibat kerugian serta kerosakan barangan rumah disebabkan banjir.


“Kepada peminjam yang terlibat, kita faham pada waktu begini mereka mengalami kesukaran untuk membuat bayaran dan sebagainya, oleh itu cara ini dapat meringankan beban mereka.


“Mereka perlu berhubung de­ngan mana-mana kaunter PTPTN di negeri ini atau berjumpa de­ngan pegawai kita untuk membuat penstrukturan dan penjadualan semula,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Kuala Tasik di sini semalam.


Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.


Shamsul Anuar berkata, peminjam PTPTN yang terjejas dengan bencana itu perlu membawa dokumen atau bukti sokongan seperti laporan polis dan gambar kejadian banjir yang berlaku.


Beliau turut mengingatkan agar tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan tawaran yang diberikan itu dan ia hanya diberikan kepada mereka yang terjejas dengan kejadian banjir yang berlaku di negeri ini sahaja.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]