Tak patuhi kelayakan skim sukar serap jawatan tetap

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Tidak mematuhi kelayakan skim yang sedang berkuat kuasa adalah antara halangan yang dikenal pasti kerajaan dalam kesukaran menyerap penyandang lantikan kontrak ke jawatan tetap.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana terdapat penyandang lantikan kontrak dalam kumpulan pelaksana hanya memiliki kelayakan akademik rendah.


“Walhal kelayakan yang minimum ketika ini bagi kumpulan pelaksana adalah Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).


“Faktor lain yang menyekat penyerapan lantikan kontrak ke jawatan tetap apabila jawatan kontrak yang diwujudkan adalah khusus untuk sesuatu tugas dan tidak boleh diisi oleh lantikan tetap,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman berkenaan penjawat awam berstatus kontrak di bawah pentadbiran kerajaan negeri pada Sidang Dewan Negeri, hari ini.


Mengulas perkara itu lagi, Adun Bukit Antarabangsa itu berkata, pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) juga mengguna pakai surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung panduan pengambilan pegawai lantikan kontrak untuk tujuan pelantikan secara tetap.


“Dasar ini menetapkan bahawa pegawai lantikan secara kontrak perkhidmatan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap bermula 1 Julai 2016 dan ia juga tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.


“Melalui dasar ini juga, ia hanya terpakai kepada pegawai atau kakitangan yang dilantik secara kontrak sebelum atau pada 23 Oktober 2015 dan tidak terpakai kepada lantikan selepas itu,” katanya.


Dalam pada itu, menurutnya, sehingga 21 Oktober lalu, pentadbiran SUK mempunyai seramai 5,639 penjawat awam lantikan kontrak bagi pelbagai jawatan.


“Rekod Human Resource Management Information System (HRMIS) juga menunjukkan terdapat lima jabatan memiliki jumlah penjawat awam tertinggi yang bertaraf kontrak.


“Ia termasuklah Majlis Bandaraya Shah Alam (796), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (679), Majlis Perbandaran Subang Jaya (645), Jabatan Agama Islam Selangor (484) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (437),” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]