Berbesar hati ECRL libatkan Kelantan

in Nasional by


KOTA BHARU – Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra menzahirkan rasa berbesar hati atas perlaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK 11) yang melibatkan negeri itu.


Titah baginda, sejajar dengan perkembangan semasa, baginda menyokong penuh keperluan infrastruktur pengangkutan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Kelantan.  


“Beta mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi kerjasama terbaik kepada pihak persekutuan dalam perlaksanaan ECRL dan projek RMK Ke-11,” titahnya.


Baginda bertitah sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad V ke-48 di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.


 Baginda juga bertitah supaya pihak Kerajaan Persekutuan menyegerakan perlaksanaan Projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah (Central Spine Road) dan Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa III.


“Projek LPT Fasa III perlu dimasukkan dalam agenda pembangunan bagi menghubungkan lebuh raya yang siap dibina sehingga ke Terengganu, sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat beta,” titahnya.


Pada November tahun lalu, Malaysia dan China dilaporkan bersetuju menandatangani rangka kerja pembiayaan, kejurute­raan dan perolehan untuk kontrak pembinaan ECRL yang dianggarkan bernilai RM55 bilion.


Pembinaan ECRL akan menyediakan landasan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Gombak, Se­langor; Gombak ke Kuantan, Pahang seterusnya hingga ke Tumpat, Kelantan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022.


Projek berimpak tinggi itu akan mempertingkatkan lagi tahap perhubungan antara Kuala Lumpur ke Pantai Timur dan merancakkan lagi pembangunan di sepanjang jajaran ECRL.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]