Dun Pulau Pinang kecoh isu halang beri bonus

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Sidang Dun Pulau Pinang bertukar kecoh apabila Datuk Dr Muhamad Farid Saad (BN- Pulau Betong) bangun mempertikai laporan di media sosial yang mendakwa Umno menghalang kerajaan negeri memberi bonus kepada penjawat awam.


Kekecohan itu bermula apabila Muhamad Farid mendakwa laporan tersebut dilakukan oleh siber trooper DAP pada malam hari yang sama ucapan Bajet 2018 dibentangkan.


“Tidak patut dan amat tidak berhati perut. Bila pula kami yang Umno menghalang beri bonus kepada penjawat awam.


“Ini (laporan) yang dikeluarkan oleh media sosial. Saya nak minta Adun Seri Delima (RSN Rayer) untuk saman siapa yang buat tuduhan-tuduhan ini,” katanya.


Rayer yang mendengar dakwaan itu terus bangun mencelah dan membantah tindakan Muhamad Farid.


 “Tak boleh terus tuduh kata ini DAP yang buat!,” katanya.


Adun Pulau Betong itu kemudiannya bangun sekali lagi menegaskan bahawa tohmahan yang dibuat memaparkan mukanya bersama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid seolah-olah mereka yang menghalang.


Perkara itu terus menjadi pertikaman lidah apabila Rayer juga berdiri mempersoalkan apakah terdapat logo roket atau DAP dalam laporan tersebut.


“Mungkin ada pihak-pihak yang sengaja nak letak (gambar), bukan kami yang buat,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]