Gerakan bantu 10 individu dapat taraf kerakyatan

in Politik by


KUALA LUMPUR – Impian 10 indvidu untuk menjadi rakyat negara ini tercapai apabila mereka menerima surat kelulusan kewarganegaraan Malaysia, semalam.


Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, beliau gembira kerana dapat membantu mereka menjadi warganegara, setelah 10 tahun  memohon kad pengenalan.


“Ada di antara mereka yang berumur lebih 70 tahun dan lahir di Malaysia sebelum merdeka. Tetapi, mereka tidak mempunyai kad pengenalan.


“Apabila mereka tidak mempunyai kad pengenalan, mereka tidak boleh keluar negara atau memohon apa-apa bantuan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Kewarganegaraan Malaysia di ibu pejabat Gerakan, hari ini.


Dengan penerimaan surat itu, kesemua individu itu boleh membuat kad pengenalan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhampiran mereka, dengan membawa surat tersebut.


Sementara itu, Ketua Unit Khas Bantuan Kewarganegaraan Gerakan, Ben Liew berkata, kesemua yang dibantu mengikut peruntukan Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mana-mana orang yang berumur lapan belas tahun atau lebih dan yang dilahirkan di Persekutuan sebelum Hari Merdeka, maka orang itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika dia memuaskan hati Kerajaan Persekutuan.


Menurutnya, parti itu sudah membantu 158 warga Malaysia untuk mendapat kerakyatan, daripada 580 permohonan yang diterima.


“Unit Khas Bantuan Kewarganegaraan ditubuhkan pada tahun lalu dengan dianggotai oleh Kementerian Dalam Negeri, JPN dan Gerakan sendiri.


“Kita sedang dalam proses untuk membantu permohonan lain,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]