Harapan tawar kahwin bajet

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Perkahwinan secara bajet akan dimasukkan dalam manifesto Pakatan Harapan Johor.


Cadangan itu dikemukakan, Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) Johor, agar mengadakan program kahwin secara bajet yakni kahwin dengan cara menjimatkan kos dari segi persiapan majlis persandingan.


Ketuanya, Norhayati Bachok berkata, cadangan itu dikemukakan susulan statistik berkenaan zina di negara ini semakin meningkat sehinggakan masalah sosial itu membawa kepada kes-kes yang lebih besar seperti pembuangan bayi dan kelahiran anak tidak sah taraf yang dilihat hari ia seperti tidak ada jalan penyelesaian.


“Awan mengambil berat keadaan ini kerana antara faktor utama zina berlaku, disebabkan pasangan tersebut tak mampu mendirikan rumah tangga kerana kos perkahwinan seperti hantaran, persiapan majlis dan bahan mentah untuk masakan yang semakin meningkat.


“Oleh itu, Awan Johor mempertimbangkan untuk menawarkan kos perkahwinan bajet atau perkahwinan yang berkadar mampu kepada rakyat di Johor sekiranya mereka ingin mendirikan rumah tangga mereka yang pertama,” katanya.


Norhayati berkata, mengambil konsep kahwin beramai-ramai seperti yang pernah dilakukan sebelum ini, pihaknya akan perluaskan sehingga menjadi suatu adat dan ikutan pada masa seterusnya.


Katanya lagi, pasangan juga boleh mengambil konsep seperti di negara jiran Singapura yang mana dengan hanya membayar S$800 perkahwinan boleh diadakan dengan majlis yang ditaja oleh kerajaan atau jabatan agama Islam di sana.


“Kami juga bercadang memberi penerangan mengenai keperluan memudahkan perkahwinan kepada ibu bapa bagi mengelakkan isu zina ini berlaku secara lebih berleluasa,” katanya.


Beliau berharap cadangan yang dikemukakan ini diterima baik masyarakat agar usaha menyelesaikan masalah sosial di negara ini mendapat sokongan, sekali gus perkara yang melibatkan tamadun masa depan dapat diselamatkan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]