Jangan tutup mata kes gangguan seksual pemimpin MIC

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak boleh terlepas pandang dakwaan seorang bekas pemimpin cawangan MIC yang melakukan gangguan seksual terhadap remaja sebagai balasan untuk bantuan dan pekerjaan.


Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan berkata, ia adalah jenayah berat yang memerlukan pihak berkuasa melakukan penahanan ke atas bekas guru itu secepat mungkin.


“Saya tahu memang beliau sudah dibuang daripada parti dan dipecat daripada tugasnya sebagai seorang guru. Namun ada lagi yang semua terlepas pandang, iaitu jenayah.


“Ya, dia telah melakukan satu jenayah iaitu gangguan seksual; di mana perbuatannya itu boleh menyebabkan dia dipenjarakan untuk sesuatu tempoh yang lama,” katanya kepada Sinar Online.


Seorang pemimpin cawangan MIC melepaskan jawatannya susulan tersebar rakaman perbualan telefon di mana beliau menjanjikan untuk mendapatkan pekerjaan kepada seorang remaja dengan syarat pelajar itu menyerahkan tubuhnya.


Menurut laporan berita, ahli politik berkenaan, yang juga adalah guru di sebuah sekolah TamilĀ  yang berusia 56 tahun, membuat janji tersebut kepada ibu gadis itu.


Klip audio berkenaan sedang tersebar melalui aplikasi mesej Whatsapp.


Dalam klip lapan minit 49 saat itu, lelaki itu dengan angkuh memberitahu beliau telah membantu banyak gadis, yang baru saja selesai menduduki peperiksaan SPM mendapat pekerjaan setelah mereka mengadakan hubungan seks dengan dirinya.


Sehubungan itu, Manivannan menggesa polis untuk melakukan penahanan segera ke atas bekas pemimpin MIC itu.


“Saya bimbang dia tidak serik dan akan mengulangi perbuatannya pada masa akan datang. Saya risau dia akan memangsakan orang lain pula selepas ini,” katanya lagi.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]