Kembara sampaikan mesej cinta keamanan

in Nasional by


SHAH ALAM – Siri jelajah Kembara Watikah Keamanan ke seluruh negara sempena kempen ‘World Day Of Solidarity 4Rohingya’ bermisikan bagi menyampai mesej cintakan keamanan dan bencikan keganasan.


Kembara ini disertai kira-kira 50 sukarelawan daripada NGO Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF).


Setiausaha Permas Malaysia, Yahya Long Ali berkata, kembara ini akan bermula pada 21 November sehingga 1 December dengan merentas beberapa bandar di seluruh negara.


Menurutnya, kembara ini telah mengenalpasti hentian di setiap negeri yang dibahagikan kepada empat zon iaitu zon utara, pantai timur, selatan dan tengah.


“Siri jelajah yang turut menggabungkan NGO daripada Singapura ini membawa mesej kepada masyarakat mengenai rasa cinta terhadap keamanan. Malah kita juga turut selitkan beberapa aktiviti yang mana terdapat golongan artis yang turut serta secara langsung.


“Kita akan dapatkan seberapa banyak tanda tangan daripada orang ramai sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini,” katanya dalam sidang media di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.


Beliau berkata, misi keamanan yang dilancarkan ini tiada batas agama kerana seluruh rakyat Malaysia harus bersatu dan menjadikan tarikh 1 Disember nanti sebagai hari perpaduan.


Sementara itu, Ketua Penyelaras Mapim Shah Alam, Badarudin Dawam berkata, isu keamanan adalah satu isu global yang harus dititikberatkan.


“Atas kesedaran itu, kembara ini sekurang-kurangnya dapat membangkitkan kesedaran di mana masyarakat dapat bangkit dan bersama kami dalam menyuarakan menentang kezaliman pihak tidak bertangungjawab,” katanya.


Dana yang terkumpul dalam siri jelajah ini akan disumbangkan kepada pelarian Rohingya dalam bentuk makanan dan pakaian terutama selimut berikutan faktor cuaca yang sejuk.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]