Lelaki kudung mohon bantuan kaki palsu

in Edisi by


SIRAM – Biarpun kaki kirinya kudung selepas dipotong akibat diabetes, seorang lelaki di Kampung Sapi menaruh harapan untuk kembali bekerja bagi menjana pendapatan.


Mat Ariff Omar, 49, berkata, selepas hampir setahun kaki kirinya dipotong, dia hanya terbaring tanpa melakukan sebarang pekerjaan.


“Sebelum ini, saya cuma sakit pada tapak kaki, selepas terpijak duri masa bekerja, tapi disebabkan takut kaki dipotong, saya sanggup tahan sakit hampir sebulan.


“Lama-lama kaki jadi lebam, bernanah dan bertukar warna hitam. Saya sedih, kalau saya potong kaki lebih awal, mesti saya masih ada betis dan mampu berjalan menggunakan tongkat,” katanya semalam.


Mat berkata, keadaannya semakin teruk apabila dia tidak dapat ke hospital kerana banjir.


Tambahnya, dia berharap dapat dibekalkan bantuan kaki palsu agar mampu berjalan seperti biasa dan bekerja di kampung ini.


“Kalau ada kaki palsu, saya nak meningkatkan pendapatan dan tak nak bebankan adik-beradik.


“Saya mampu berurut dari rumah ke rumah dan tak terperap dalam rumah sepanjang hari,” katanya.


Mat berkata, dia baru sahaja memohon untuk mendapatkan bantuan kebajikan masyarakat dan berharap ia diluluskan segera.


Turut melawat Mat, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Meranti, Ahmad Anuar Husin.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]