Menanti masa kena pindah

in Edisi Terengganu by


KAMPUNG PENGKALAN AJAL – Saban tahun sudah menjadi kebiasaan dia akan menjadi orang pertama dan terakhir yang berada di pusat pemindahan banjir.


Raja Aziz Raja Ngah, 58, berkata, rumahnya akan menjadi rumah pertama berdepan masalah banjir disebabkan kedudukan terletak di kawasan rendah dan begitu hampir dengan sungai.


Menurutnya, dek kerana itulah apabila tiba musim peralihan monsun atau musim tengkujuh, dia akan melakukan persiapan awal termasuk membina rak di dalam rumah bagi memastikan barangan dapat di simpan ke tempat tinggi sekali gus mengelakkan jumlah kerugian lebih besar dialami.


“Setiap kali kampung ini banjir, setiap kali itulah saya perlu berpindah kerana rumah dinaiki air sedalam 1.5 meter hingga dua meter.


“Bukan sekali dua pindah, kadang-kadang sampai empat kali bergantung kepada situasi banjir dan sejak menghuni rumah di bawah PPRT di sini 10 tahun lalu, itulah senario dialami saban,” katanya.

Pakaian biasanya digantung Raja Aziz apabila masuk musim tengkujuh.


Raja Aziz berkata, musim tengkujuh kian hampir dan dia hanya menanti masa untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir.


“Biasanya air naik waktu malam sebab air Sungai Berang melimpah. Mahu atau tidak, sayalah orang pertama dan terakhir yang berada di pusat pemindahan nanti.


“Tempoh berada di situ ada kalanya boleh cecah seminggu sebab air lambat surut tapi saya akan tinjau keadaan rumah,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, walaupun barangan diletakkan di atas rak yang dibina dalam rumah, namun ada juga sesetengah barangan elektrik yang berat seperti peti sejuk dan mesin basuh tidak dapat diangkat setinggi itu sekali gus undang kerosakan serta kerugian.


“Barang berat hanya diletakkan atas kerusi atau meja sahaja. Tapi ada kalanya barangan ini terjatuh sebab arus air deras.


“Pakaian pula saya gantung di tempat yang tinggi nak elak terkena air banjir,” katanya.


Tambahnya, berikutan sering dilanda banjir saban tahun, rumahnya turut mengalami keretakan terutamanya di bahagian dinding dan tentunya ia benar-benar membimbangkan.


“Risau jika ia roboh bila-bila masa. Tanah tapak rumah juga makin mendap.


“Bila dibenarkan pulang ke rumah, saya bukan saja berdebar tengok barangan yang rosak tapi juga keadaan rumah sama ada retakan serius atau sebaliknya. Namun biasanya, kesan retak memang bertambah setiap kali banjir kerana arus air deras,” ujarnya.


Dalam perkembangan berkaitan, atas faktor usia dia bercadang untuk berpindah berikutan sudah tidak larat berdepan bencana banjir saban tahun memandangkan dia juga menghidap penyakit lelah.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]