Pulau Pinang akhiri penantian 15 tahun

in Sukan by


PULAU PINANG menamatkan penantian selama 15 tahun untuk kembali merangkul kejuaraan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-77 musim ini.


Pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad IV,  Kota Bharu, semalam, Pulau Pinang meraih kemenangan dramatik dengan mengecewakan Kelantan 2-1 dalam perlawanan yang berlarutan hingga ke masa tambahan.


Kemenangan tersebut membolehkan Pulau Pinang menjulang trofi selain membawa pulang RM40,000 manakala tuan rumah selaku naib juara menerima RM20,000.


Ia merupakan kejuaraan kesembilan dinikmati Pulau Pinang setelah kali terakhir mendakap piala tersebut pada tahun 2002 dengan menewaskan Kedah 1-0.


Pelawat memberi tekanan awal ke atas tuan rumah menerusi tiga sepakan penjuru yang diperoleh dalam tempoh 10 minit namun Wan Muhd Khairul Wan Mahadi sekadar menanduk angin, pada minit kesembilan.


Memasuki minit ke-14 barulah Kelantan berpeluang mencipta gerakan tetapi percubaan Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood tersasar disusuli rembatan Mohd Qhaidir Abdullah terus ke dakapan penjaga gol Pulau Pinang, Amir Omar Khata, seminit kemudian.


Selepas itu, pelawat kembali menguasai permainan tetapi sepakan percuma Syamil Masdokhi menuju tepat kepada penjaga gawang Kelantan, Mohd Farmie Hussin, pada minit ke-17.


Aksi kembali rancak pada minit ke-28 dengan tuan rumah memperoleh peluang keemasan tetapi Muhamad Masri Asyraf Samsudin mensia-siakannya apabila menyepak liar ke arah pintu gol Pulau Pinang.


Pelawat yang dibimbing bekas pemain negeri, Abdul Rahim Hassan membuktikan mereka tidak gentar sekali pun beraksi di hadapan hampir 2,100 penyokong tuan rumah apabila melancarkan serangan bertubi-tubi berbaki 15 minit terakhir babak pertama.


Peluang terbaik mereka menjelma pada minit ke-33 tetapi percubaan leret Wan Muhd Khairul hanya beberapa meter tersasar di sebelah kanan gawang.


Ketangkasan Mohd Farmie menafikan hajat Pulau Pinang untuk memecahkan kebuntuan apabila dia menepis keluar percubaan berbahaya Muhd Nazrul Najmi Mohd Noor, pada minit ke-41.


Pelawat terus kempunan untuk meraih jaringan apabila tandukan Wan Muhd Khairul berpunca sepakan penjuru rakan sepasukannya melewati palang dua minit kemudian untuk kedudukan 0-0 kekal pada babak pertama.


Kedua-dua pasukan menyajikan corak permainan rancak apabila saling berbalas serangan sebaik babak kedua bersambung dengan tuan rumah mencipta peluang terbaik pada minit ke-57.


Menerusi satu serangan balas pantas, Mohd Qhaidir bijak melintang bola ke dalam kotak penalti tetapi tandukan tajam Wan Mohd Alif Wan Jasmi pula diselamatkan penjaga gawang pelawat.


Pulau Pinang yang tertekan dengan asakan tuan rumah terpaksa mengeluarkan Wan Muhd Khairul pada minit ke-60 tetapi gol yang dinantikan belum kunjung tiba setelah rembatan Muhd Nazrul Najmi hanya sedikit melewati palang, enam minit kemudian.


Bagaimanapun, penantian skuad Pulau Mutiara untuk meraih gol akhirnya terlerai  apabila rembatan Muhd Nazrul Najmi dari luar kotak penalti berpunca sepakan sudut terus menerjah jaring pada minit ke-87.


Ketika pelawat diambang kemenangan, pemain gantian tuan rumah, Mohd Asraff Alifuddin muncul selaku penyelamat apabila menanduk masuk gol penyamaan dalam masa kecederaan sekali gus mengheret kedua-dua pasukan ke masa tambahan.


Namun pemain gantian Pulau Pinang,  Muhd Shahrulnizam memastikan kejuaraan sah menjadi milik pasukannya apabila dia yang memperdayakan tiga pertahanan tuan rumah tenang melepaskan percubaan jarak dekat sekali gus menewaskan Mohd Farmie, pada minit ke-112.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]