'Siasat salah, tak siasat pun salah'

in Semasa by


KUALA LUMPUR – “Kalau kita siasat pun akan dipersalah, kalau tak disiasat pun akan dipersalah,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.


Beliau mengulas kenyataan Majlis Peguam, mengutuk tindakan disifatkan satu siri serangan ke atas bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk S Ambiga, susulan keputusan polis menyiasat peguam itu yang dinamakan dalam satu afidavit pembelaan difailkan di London bagi dakwaan pemberian dana RM90 juta kepada Pas.


Ia bersabit saman fitnah difailkan oleh Pas terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle- Brown yang menerbitkan artikel mendakwa parti tersebut menerima sejumlah dana daripada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Siasatan berkenaan atas dakwaan bahawa Ambiga menyalurkan maklumat kepada Rewcastle-Brown kononnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima sejumlah wang yang besar daripada Najib.


Artikel itu disiarkan menerusi portal Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 dengan mendakwa Pas menerima dana berjumlah RM90 juta sebagai habuan menyokong BN.


Rewcastle-Brown dalam pernyataan pembelaannya terhadap saman fitnah difailkan Abdul Hadi sebelum ini menamakan Ambiga sebagai sumber maklumatnya dalam pengeluaran artikel bertajuk ‘As Najib denies all over 1MDB let’s not forget his many other criminal connections’.


Mengulas lanjut mengenainya, Mohamad Fuzi berkata, beliau enggan mengulas kenyataan Majlis Peguam itu.


“Kita tidak mahu komen apa yang Majlis Peguam kata…laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan telah dibuka.


“Jadi kita perlu lengkapkan kertas siasatan dan merekodkan keterangan untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan kerja ke Unit Tindak Khas (UTK), di Lapang Sasar Pasukan Gerakan Am Briged Tengah Cheras, di sini hari ini.


Mengulas sama ada telah memanggil Ambiga untuk merekod keterangan, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini pihaknya belum berbuat demikian.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]