'Suami saya, hero kami sekeluarga'

in Uncategorized by


IPOH – “Suami saya, hero kami sekeluarga,” demikian luahan isteri kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang cedera semasa memadam kebakaran di sebuah kilang di sini, pagi tadi.


Nurul Wahyuwi Kamarulzaman, 32, isteri kepada Shazlan Mohd Hanafiah,  berkata beliau sudah biasa melihat suaminya mengalami kecederaan ringan ketika bertugas, namun kemalangan hari ini, benar-benar mengejutkannya.


“Kalau setakat luka-luka kecil memang dia dah biasa kena, tapi tadi masa tengok kecederaan yang dialami suami, hati saya memang luluh.


“Walaupun suami hanya melecur 10 peratus dan bukannya kecederaan parah, tapi dia adalah hero bagi kami sekeluarga kerana pengorbanannya, sanggup hadapi risiko demi keselamatan orang lain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Dua anggota bomba parah disambar api]


Turut hadir melawat mangsa, Pengarah JPBM negeri, Datuk Yahaya Madis serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rusnah Kassim.


Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, dua anggota bomba cedera ketika memadam api di sebuah kilang memproses habuk kayu untuk membuat papan lapis di pusat perindustrian IGB dekat Tasek, di sini.


Sementara itu, Yahaya berkata mangsa Shazlan serta Mohd Azri Aziz cedera semasa membuat pemeriksaan kawasan selepas kebakaran berjaya dikawal.


“Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua anggota ini naik ke atas silo setinggi 3.7 meter untuk memasukkan air, malangnya masih ada bara api dan belum sempat air dimasukkan berlaku percikan hingga menyebabkan letupan.


“Akibat daripada letupan itu dua anggota tercedera iaitu Mohd Azri satu peratus, manakala Shazlan 10 peratus melibatkan bahagian leher, bahu dan muka,” katanya.


Kedua-dua anggota berkenaan kini berada dalam keadaan stabil, namun masih di bawah pemerhatian doktor.- Bernama


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]