Tidak boleh guna keterangan mahkamah, tuduh pihak lain

in Nasional by


SHAH ALAM – Sebarang keterangan yang diberikan oleh individu dalam mahkamah tidak boleh digunakan untuk dituduh bagi kesalahan lain.


Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, keterangan diberikan Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle- Brown, hanya keterangan dengar cakap yang tidak boleh dijadikan keterangan di mahkamah.


“Dalam undang-undang, jika seseorang memberi keterangan di mahkamah, apa yang dia kata, tidak boleh digunakan untuk dituduh bagi kesalahan lain.


“Tapi di sini, Clare mengatakan maklumat diperoleh daripada bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga. Jadi, bukan Clare yang disiasat, sebaliknya Ambiga. Itu yang dia kata, (siasatan polis) tidak sesuai dari segi undang-undang,” katanya.


Menurutnya, pihak polis perlu mengumpulkan maklumat lain untuk menuduh Ambiga di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988 kerana mendatangkan khianat awam.


Nik Ahmad Kamal berkata, sekiranya cukup keterangan, Ambiga boleh dituduh.


“Sama ada tuduhan itu sesuai atau tidak, itu tugas polis, dan yang dituduh pula boleh membela diri.


“Kerana itu (mungkin) Ambiga berasakan, tindakan diambil polis untuk melakukan siasatan terhadapnya tidak sesuai, disebabkan maklumat itu diperoleh daripada satu perbicaraan mahkamah, jadi tidak sepatutnya ia dijadikan asas untuk menuduh beliau,” katanya.


Difahamkan, polis memulakan siasatan terhadap Ambiga selepas satu laporan polis dibuat Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno, Zulkarnain Mahdar di Balai Polis Sri Petaling pada 1 November lalu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]