Tiga anggota polis ditahan positif dadah

in Semasa by


JOHOR BAHRU – Empat anggota polis dan seorang kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor ditahan selepas gagal dalam ujian saringan dadah besar-besaran yang dilakukan sejak akhir bulan lalu.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, semua yang ditahan berusia 25 hingga 35 tahun itu ditahan ketika saringan yang dilakukan kepimpinan Kontinjen Johor dalam usaha membersihkan pembabitan anggota atau pegawai daripada kegiatan penyalahgunaan dadah.


Katanya, saringan yang dilakukan sejak 31 Oktober lalu melibatkan seramai 6,221 daripada 10,370 terdiri daripada 60 peratus pegawai, anggota dan kakitangan awam warga PDRM Johor.


“Daripada jumlah disaring, empat anggota berpangkat rendah dan seorang kakitangan awam ditahan kerana didapati positif dadah.


“Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan menjalani tindakan perundangan seperti biasa jika disabitkan kesalahan,” katanya selepas menghadiri program hari keluarga berkonsep baharu, Ceria Bersama PDRM Care Johor di Taman Sutera di sini, hari ini.


Mohd Khalil berkata baki 4,149 warga PDRM Johor kini masih menjalani proses saringan yang sedang berjalan dari masa ke semasa.


“Polis Johor amat serius dalam membanteras dan menangani pembabitan anggota atau pegawai dalam penyalahgunaan dadah, ia (operasi) akan terus dijalankan.


“Pegawai dan anggota harus sedar, indikasi mereka adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik yang diamanahkan kepada masyarakat sebagaimana yang dilafazkan dalam ikrar,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]